Wednesday 5 October 2011

Kita Lahir . .



Assalamualaikum wbk..

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang satu dan tiada taranya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, baginda Nabi Muhammad saw, keluarga dan sekalian sahabat.

Ingin aku berkisah tentang diri. Setiap daripada kita, manusia ini lahir dengan cara yang sama. Lahir daripada insan yang bergelar ibu atas kehendak dan izin-Nya. Namun, kita mati dengan cara yang berbeza-beza, bukan? Ya, itulah hakikat insan. Walau siapa pun kita, kita pasti akan merasai mati. Tidak mengenal umur. Tidak mengenal pangkat. Tidak mengenal nama. Sama sahaja. Mati itu pasti.

Di ruangan ini, ingin aku berkisah akan diri insan. Kita lahir dengan segala sifat yang dikurniakan Ilahi. Adakah kita bersyukur? Kadang, diri selalu melihat kelebihan insan lain. Sehingga rasa rendah menyelit dalam sukma. Bukankah Nabi telah berpesan, pandanglah kepada mereka yang mempunyai kekurangan daripadamu, nescaya kamu akan bersyukur.

Kita lahir dengan dua mata di depan wajah kita kerana kita tidak boleh selalu melihat ke belakang supaya kita memandang masa depan. Kita dilahirkan dengan dua telinga di kiri dan kanan kita supaya kita dapat mendengar dari dua sisi, agar kita mendengar pujian dan kritikan dan memilih mana yang benar dan mana yang salah. Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita, sehingga tak peduli semiskin mana pun seseorang itu, kita masih kaya kerana tidak ada seorang pun yang dapat mencuri otak dan fikiran kita. Harga sebuah fikiran dalam otak kita jauh lebih mahal daripada emas dan berlian.

Kita lahir dengan dua mata dan dua telinga, tetapi kita hanya diberi satu mulut kerana mulut senjata yang tajam dan mampu membunuh. Sebab itu kita lebih banyak mendengar daripada banyak bercakap. Kita lahir dengan hanya satu hati jauh dalam diri kita, yang mengingatkan kita kepada penghargaan dan pemberian cinta Ilahi dari hati yang dalam. Wujud tanpa paksaan. Diberi dengan keikhlasan. Sehingga akhirnya, kita akan dapat cinta yang indah lagi hakiki.

Itulah hakikat insan. Lahir dengan segala nikmat yang dikurniakan Ilahi. Lahir dengan hati yang putih lagi bersih. Lahir dengan jiwa khalifah yang besar. Namun, kadang kita lupa. Bahawa kita hanya hamba yang lemah lagi hina. Hamba yang naïf dan miskin. Belajarlah mengenal erti syukur. Syukur akan nikmat Ilahi. syukur akan segala yang bersifat sementara ini. Kerana sesungguhnya, kepada-Nya jua kita kembali.


p/s: kadang kala, berdiam itu lebih baik. Diam tidak bermakna kalah atau mengalah. ^_^


sebutir air mata yang jatuh kerana keinsafan adalah lebih baik daripada sejuta mutiara di dasar lautan, sejernih wajah kerana wudhu yang sempurna adalah lebih bercahaya daripada kilauan segunung emas permata, sesuci hati kerana cinta ILAHI itulah hakikat cinta yang abadi..

No comments:

Post a Comment