Monday 11 April 2011

Ikhtibar dari bencana

image by Google




Assalamualaikum wbk . .




Bencana mengajar manusia tentang kehebatan Allah

Bencana alam yang melanda Jepun baru-baru ini menyemai titik keinsafan bahawa apabila Allah telah menetapkan sesuatu kejadian alam berlaku, maka tiada siapa pun yang dapat mengekangnya. Bandar yang dibina bertahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hampir menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ apabila dilanda gempa bumi dan gelombang tsunami yang kuat.


Pun begitu, dalam keadaan ramai rakyat Jepun yang masih trauma dengan kejadian itu, semangat meneruskan kehidupan seperti biasa dan bangkit daripada musibah ini adalah luar biasa. Mereka tidak terus menerus bersedih atas kejadian itu, bahkan saintis jepun mengambil langkah segera mengkaji kejadian tersebut agar pencegahan awal atau sistem amaran awal dapat dilaksanakan dengan lebih baik.


Sikap ini memberi makna bahawa mereka sangat memandang tinggi keperluan mengkaji hubungan alam dengan manusia. Menginsafi sikap mereka, orang Islam seharusnya insaf bahawa ilmu kejadian alam sebenarnya adalah ilmu daripada Allah yang terkandung hikmah.
Penerokaan ilmu yang tidak terbatas melalui akal yang terbatas menuntut keyakinan besar kepada kebesaran Allah. Sesuatu yang tidak diketahui oleh akal tidak bermakna ia tidak ada. Keyakinan manusia bahawa Allah itu Maha Perkasa memberikan asas iman dalam diri manusia.




Memahami keterbatasan manusia


Segala usaha manusia untuk mengetahui kebesaran Allah melalui alat tidaklah salah kerana al-Quran memberikan asas bahawa penerokaan langit dan bumi hanya boleh berlaku dengan alat, kemudahan atau teknologi.


Surah Al-Alaq memberikan asas ilmu, sains dan teknologi yang amat nyata kepada orang-orang Islam. Ayat ke 3-5 memberikan pedoman mengenai pentingnya qalam iaitu alat atau teknologi yang merintis penerokaan ilmu.Ia merupakan alat dan teknologi bagi mengetahui sedikit mengenai rahsia kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada daya cipta-Nya terhadap alam ini.


Al-Quran telah menjelaskan bahawa alam ini telah ditundukkan Allah untuk keperluan manusia, agar manusia beribadat kepada Allah secara lebih sempurna (Ibrahim: 32).
Penerokaan terhadap alam bumi dan alam angkasa lepas memberikan manusia ilmu dan maklumat. Daripada ilmu dan maklumat menjadikan manusia lebih rasional memahami makna alam dan kejadian.


Inilah asas ulul-albab yang terdapat di dalam Al Quran dan pendekatan tadabbur yang mendorong manusia mengkaji, berfikir, menyelidik dan akhirnya mendidik mereka menjadi orang-orang yang bertakwa.


Surah ali-’Imran ayat 190 misalnya menyebutkan bahawa hikmah kejadian penciptaan langit dan bumi serta putaran siang dan malam terhadap orang-orang yang berakal dan berfikir.
Allah juga memberi asas pedoman kepada manusia supaya sentiasa mengkaji dan berfikir tentang kejadian alam. Namun begitu, sering al-Quran mengingatkan manusia bahawa manusia adalah bahagian kecil dari alam yang sangat luas ini supaya manusia selalu melihat dan mengamati alam tersebut untuk mengetahui rahsia-rahsia yang tersimpan di dalamnya (al-Mukmin: 57) . 


Amat penting bagi seorang remaja memahami bahawa tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini mempunyai had dan batasnya tersendiri. Kejadian alam yang sempurna yang telah diciptakan untuk manusia dan isinya ini adalah untuk dinikmati secara adil dan saksama agar manusia sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.


Di dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah menjelaskan tentang golongan yang diberi nikmat dan kemudiannya tidak bersyukur atas pemberian Tuhan: Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).


Justeru, sebagai remaja Islam, kita seharusnya berusaha meningkatkan ilmu dan membangunkan potensi diri seiring dengan syariat Islam.




p/s: setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya..


sumber: epondok.wordpress

No comments:

Post a Comment